Thursday, November 30, 2006

Hari yang sedih dan sadis

Hari ni penulis sedih sangat sebab bangun2 je dari tidur, suara dah tak keluar. Memang dah 2 minggu penulis selsema, batuk n sakit tekak tapi selama ni takla sampai takde suara langsung. Tadi beli breakfast pun kena mintak tolong akak orderkan air. huhu sedihnyer...

Penulis terpaksa tunda semua kelas hari ni. Betulkan bila kita selalu diberikan nikmat bersuara, kita jarang menghargai dan mensyukurinya. Tapi bila ianya hilang dari kawalan kita barulah kita sedari bahawa suara tu adalah satu nikmat Allah yang besar. Ya, manusia sering lupa. Walaupun tak dapat bercakap hari ni tapi takpe syukur kepada Allah kerana masih diberikan kekuatan untuk terus hidup di dunia ini. Cukuplah Allah sebagai penguat kita semua...

Hari ni mak dan ayah penulis datang KL . :D Alhamdulillah. Seronok sangat. Rindu dekat makayah penulis.

Hari ni hari lahir akak penulis. Penulis doakan semoga akak penulis dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan bahagia dunia dan akhirat.. Terima kasih di atas segala-galanya... Terima kasih kerana menjadi akak penulis yang telah banyak membantu penulis selama ini...

Jadi, di sini penulis ingin mengingatkan diri penulis yang sering lupa supaya "belajarlah untuk bersyukur... ". wasalam.

p/s : Doakan penulis cepat sembuh yer...

Tuesday, November 21, 2006

Alhamdulillah Syukurku KepadaMu Ya Allah...

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar dan kekasih hati, Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ini penulis masih diberi peluang oleh Allah untuk menikmati kehidupan ini. Merasa nikmat iman dan Islam dan seterusnya masih mampu melihat dunia ini yang pada bila-bila masa bakal ditinggalkan. Semoga dihidup dan dimatikan di dalam iman dan Islam. Alhamdulillah syukur kepada Mu Ya Allah...

Hari ni juga penulis perlu ke BTN di Ayer Keroh, Melaka. Selepas bercuti semalam jadi hari ni liat sikit la nak pergi kerja. hehe Biasalah tu. Aperpun penulis bersyukur masih mempunyai kerja. Berapa ramai graduan di luar sana yang masih menganggur. Alhamdulillah syukur kepada Mu Ya Allah...

Semalam semua berjalan lancar. :) Bermulanya penulis melangkah ke satu tingkat yang baru. Jadi segalanya perlu dijaga. Semoga Allah permudahkan segala urusan penulis dan semoga ianya sentiasa di dalam redha Allah hendaknya.Alhamdulillah syukur kepada Mu Ya Allah...

Terima kasih kepada mak, ayah, adik beradik penulis dan juga saudara mara penulis terutamanya keluarga belah Kelantan, ayah Tih, ayah Su, ayah cik, mak ngah dan mak long yang telah banyak menyumbang tenaga. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian. Penulis bersyukur sangat mempunyai keluarga dan saudara mara yang sentiasa ambil berat terhadap penulis. Alhamdulillah syukur kepada Mu Ya Allah...

Sesungguhnya jika air laut itu dijadikan tinta untuk penulis menghitung nikmat yang Allah kurniakan kepada penulis. Maka sesungguhnya akan kering air laut itu sedangkan nikmat Allah masih banyak lagi tidak dapat dicoretkan kesemuanya. Nikmat iman, Islam, pancaindera, keluarga, pekerjaan, keamanan, kehidupan, huh... Begitu banyak sekali... Segalanya dikurniakan kepada kita hambaNya secara percuma tanpa meminta sedikit bayaran pun.

Kita adalah hambaNya. Nikmat yang diberikan adalah tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya sesuai dengan sifatNya yang Rahman dan Rahiim. Jadi mari kita renung bersama. Dengan nikmat Allah yang kita perolehi selama ini. Layakkah kita untuk melanggar perintahNya? Layakkah kita untuk menyembah selain daripadaNya? Layakkah kita untuk mempersoalkan mengapa Allah tidak memakbulkan doa kita sedangkan itu adalah hakNya. Dia Tuhan, kita hamba. Kita hanya mampu memohon dan terus memohon dan jika doa itu datang dari hati yang ikhlas insyaAllah Allah akan memakbulkannya. Itu janji Allah. Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji...

Jadi penulis menyeru diri penulis dan juga sahabat-sahabat untuk sama-sama memuhasabah diri. Sesungguhnya kasih sayang Allah tak bertepi kepada kita, hambaNya cuma kita yang sering kali menjauhkan diri dariNya...

Rasanya cukup untuk kali ini. Akhir kalam, maaf di atas segala salah dan silap yang pernah penulis buat. Sesungguhnya penulis banyak kelemahan.wasalam...

Thursday, November 16, 2006

Cinta Tanpa Syarat

Diambil dari wildan98@yahoogroup.com. Tidak diketahui siapakah penulisnya. Namun penulis mohon kebenaran untuk menyiarkannya di blog ini sekadar berkongsi dan mengambil iktibar serta manfaat darinya...

cahaya_sufi
_______________________________________________________________
Marilah kita menyayangi ibu bapa kita dan jagalah anak kita sepertimana kita pernah dijaga oleh ibu bapa kita. Biar bergantang emas, walau dibalas dengan nyawa sekalipun, tidak mungkin dapat kita membalas jasa mereka.Wallahua'lam.

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "WahaiTuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telahmencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."(Al-Israa' 17: 24)

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilahmereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketikadiriku masih kecil".

Itulah doa saya sebentar tadi, semasa bersolat Zohor.Entah kenapa, tiba-tiba hati saya terlalu tersentuh dengan doa tersebut.Sedangkan sudah berkali-kali saya membaca doa yang sama. Adakah kerana rindu saya terhadap ayahanda yang sudah masuk 14 tahun meninggalkan kami.Ya, saya rindukannya, terutamanya ketika hidup saya diasak dengan pelbagai cabaran, dan saya rindukan tangan ayahanda yang sering menepuk bahu agar masalah saya mengecil dan pergi oleh senyumannya.Apakah saya terharu kerana saya rindukan bonda di kampung. Kampung yang sunyi, bersama teman-teman berbualnya yang pulang ke pangkuan Ilahi,seorang demi seorang.

Bonda memang kesepian, hanya panggilan telefon dari anak-anaknya sahajalah pengubat sunyi itu. Mujurlah bonda kuat membaca.Majalah I saya hantarkan setiap bulan, kulit ke kulit habis dibacanya.Tazkirah Untuk Orang Mengaji oleh Ustaz Sonharji, saya belikan dan cepat sekali bonda menghadamnya. Kata bonda, "jika sunyi dan tak buat apa-apa,kenalah baca buku. Kalau dibiarkan otak beku, nanti datang jemu dan nyanyuk, jadi pelupa dan kemudian susahlah anak-anak nak melayan orang tua yang begitu."

Saya memang rindukan bonda. Bonda saya juga rindukan suaminya. Jika diselak langsir dapur, sayup-sayup kelihatan sepasang nisan makam ayahanda di tepi masjid sebelah rumah. Bonda sering termenung di tingkap itu, merenung kisah silam mereka, dan kenangan manis membesarkan kami berlima. Arwah nenda pernah berkata, "aku hairan tengok kamu berlima ni. Dari kecil sampaibesar, tak pernah bergaduh. Walhal hero-hero belaka!" Saya juga terkenang,memang kami berlima hero-hero belaka. Semua adik beradik saya lelaki tetapi kami memang tidak pernah bergaduh.

Mungkin semua itu kerana watak ayah. Diamenjadi tumpuan kami dan kami sentiasa bergelak ketawa hingga ke meja makan. Kami tiada masa untuk bergaduh kerana semua ketawa dan sedih kami adalah bersama ayah.Namun selepas ayahanda pergi mengejut oleh serangan jantung, keluarga kami sunyi hilang ketawa. Sepi..Kucing-kucing belaan kami yang suka menjilat peluh ayah semasa dia sakit terlantar, turut mati seekor demi seekor. Begitulah kami di rumah, tertumpu pada ayah. Kini ibu saya pula melayan sepi dan sunyi itu sendirian. Saya sangka, saya sukar menemankan bonda kerana saya terhumban di hujung benua.Selepas lebih sedekad saya di luar negara, saya segera pulang ke kampung halaman. Namun selepas bekerja di KL, rupa-rupanya keadaan tidak banyak berubah. Saya masih sukar untuk balik ke kampung, akibat Kuala Lumpur dan kehidupan saya yang amat menekan masa.

Saya jatuh rindu dan saya mohon ampun dari Allah atas dosa saya membiarkan bonda kesunyian di kampung.Tetapi tengah hari tadi, saya tidak hiba kerana itu. Ada sesuatu yang lebih halus darinya. Mungkin sebentar tadi, buat kali pertamanya saya dapat merasakan apakah sebenarnya yang saya minta dari Allah, Tuhan yang telah memberikan seorang ibu dan bapa yang pengasih kepada saya.Mengapakah apabila saya merintih keampunan dari Allah, saya kaitkan ia dengan kasih sayang bonda dan ayah semasa saya kecil?Hari ini saya berusaha memikirkan jawapannya.

"Rizal minta maaf emak sebab susah sangat nak balik ke Ipoh . Kerja tak habis-habis. Lagi pun ada masanya Rizal cuti, tapi Muna pula yang kerja.Saif selalu menyebut tentang opahnya. Naurah pun dah makin besar. Dan pandai mengajuk cakap", keluhan saya kepada bonda beberapa ketika yang lalu."Tak apa, mak pun minta maaf sebab jarang dapat ke Kuala Lumpur . Kaki mak ni asyik sakit, kepala pun berat. Tak seronok nak berjalan-jalan kalau begini. Datang rumah kamu pun nanti menyusahkan sahaja. Asalkan kamu ingat emak dalam doa, Alhamdulillah" .

Itulah suara dari hati bonda.Semasa berdoa tadi baru saya sedar, ibu saya amat pemaaf. Dia memaafkan saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Paling menyerlah,pemaaf bonda semasa saya kecil...Saya pernah teringin untuk minum air sirap ros, tetapi patinya sudah habis.Semasa bonda sibuk menanda buku latihan anak-anak muridnya, saya ke dapur dan cuba memasak gula di dalam periuk. Secawan gula dicampur dengan pewarna merah, dimasak di atas api. Saya baru darjah tiga dan tidak terfikir untuk menambah air. Akhirnya gula hangus dan beku, periuk berkerak dan hampirmustahil untuk dibersihkan. Kerana takut, saya simpan periuk itu di dalam kabinet dapur. Seminggu masa berlalu, apabila bonda terjumpa periuk itu,dia tahu itu angkara saya. Dia tidak marah tetapi mencebikkan muka kesedihan."Emak tak marah?", saya cuba memberanikan diri bertanya."Emak tak marah kamu cuba masak gula ni. Tapi emak sedih sebab kamu sorok periuk ni dalam kabinet", itulah katanya.Saya menangis kerana terasa bersalah cuba menipu bonda dan dia dengan segera memujuk.

Saya pernah cuba membasuh kain sendiri, tetapi kerana lupa memasukkan getah ke bilik air, habis seluruh dapur banjir ditenggelami air sabun. Bonda tidak marah.Saya juga pernah berayun di buaian sambil berdiri walaupun ditegah. Apabila buaian terlalu laju, saya tercampak dan muka tersembam ke pasu bunga.Sampai ke hari ini saya masih dapat merasa tuam pasir panas di pipi yang sudah kebiru-biruan. Bonda tidak marah.Ayahanda juga tiada bezanya. Dia tidak pernah memaksa saya membaca buku tetapi jika gagal mendapat tempat pertama, dia menepuk bahu saya sambil berkata, "nanti mainlah lagi ya. Jangan baca buku."Dia tidak marah tetapi saya sendiri yang rasa terseksa dan bersalah.Saya pernah bergaduh dengan Pengetua di sekolah. "Maaf ustaz, kalaubegitulah cakap ustaz, saya pun 'tak hingin' nak sekolah di sini!", jiwa anak muda di Tingkatan 4 memberontak. Saya pulang ke asrama, mengemas beg baju dan langsung meninggalkan Negeri Sembilan untuk pulang ke kampung tanpa berfikir panjang.

Saya tiba di Ipoh selewat jam 11 malam. Ayah amat terkejut dengan tindakan saya berhenti sekolah, tetapi dia tidak marah. Dia berikan saya wang RM50 sambil berkata, "ambil duit ni dan uruskan sendiri kamu nak bersekolah mana selepas ini". Itu cara ayah saya. Dia jarang sekali marah.Ayah dan bonda saya amat mudah memaafkan saya. Tidak kira apa sahaja karenah kami, mereka memaafkan kami seadanya. Mereka menerima kami sebagai anak-anak yang banyak kelemahan dan atas penerimaan itu, mereka mengasihi kami TANPA SYARAT.

Ayah dan bonda menerima saya atas segala yang ada pada diri ini. Saya taat atau degil, saya rajin dan saya culas, saya senyum atau saya menjerit,mereka menerima saya seadanya. Mereka terus menyayangi dan mengasihi saya tanpa syarat. Mereka tidak pernah memberitahu saya bahawa semua kebaikan yang mereka buat selama ini, mesti dibalas apabila kami telah dewasa. Kami balas atau tidak, kami ingat atau lupa, tugas mereka hanyalah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang, TANPA SYARAT.Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan bapa kepada anaknya. Jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk dipastikan tulusp ersahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat memaafkan sahabatnya tanpa syarat? Mungkin ada, tapi sering tiada.

Apa yang pasti, hanya ibu bapa sahaja yang mampu mengasihi anak-anaknya tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas kasih itu. Jika seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sanggup berjaga malam dan berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun apabila tiba giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus menjaga, tetapi hati mudah berkata,"bilalah orang tua ini nak mati!". Ya Allah, lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.

Hati saya amat sedih melihat kaum Cina di KL berebut-rebut menghantar ibu dan bapa mereka ke wad kecemasan Hospital UKM sehari sebelum Tahun Baru Cina. Pesakit berumur 60 tahun (kalau tak silap saya) ke atas, rawatan di HUKM adalah percuma. Maka inilah cara mudah mereka untuk 'get rid' ibu bapa mereka di musim perayaan. Kalau hantar ke rumah orang tua-tua, mahal pulak bayarannya. Allah Allah....

Saya masih ingat dialog ayah tengah hari itu. Dia baru sahaja pulang dari menunaikan Haji."Abah kat Mekah doa apa, abah?", saya bertanya."Abah doa supaya Allah jangan panjangkan umur abah sampai nyanyuk. Takut anak-anak tak tahan. Takut kamu jadi anak durhaka!", kata ayah saya sambil mata redupnya merenung saya yang terkelu lidah. "Abah, jangan cakap macamtu...", saya sebak dan hanya mampu membiarkan air mata kering di pipi. Ayahpergi meninggalkan kami pada malam hari lahir saya yang ke-17, hanya setahun lebih selepas perbualan kami itu.Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu dan ayah, mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu membelai, mereka mudah memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan CINTA TANPA SYARAT.

Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak hisab, tanpa banyak syarat,sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka yang mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan Kasih-sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat...

NAMUN... Mungkinkah semua itu, Allah kurniakan kepada saya? Siapakah saya untukmeminta pengampunan yang terus tanpa syarat? Malah jika setiap detik hidup dalam sehari itu dihitung, terasa betapa dosa sahaja yang banyak berbekas.Sedangkan tanpa saya sedar saya banyak meletakkan syarat terhadap Allah.Aku ingat kepada-Mu, dengan syarat aku sudah hilang penyelesaian. Aku sanggup lakukan apa yang Engkau suruh, tetapi selepas aku melihat apa kebaikan yang aku dapat!Hinanya diriku. Lupa sudah pada hakikat diri sebagai hamba. Hamba yang tidak layak meminta, apatah lagi untuk meletakkan syarat kepada Tuhannya. Astaghfirullah...

Menghitung hari, padanya terpalit pelbagai dosa. Paling kurang, setiap hari saya dibelenggu rasa terkilan dan berdosa kerana bonda kesunyian di kampung. Setelah pulang ke Malaysia , saya masih belum dapat menjaganya di depan mata.Bayangkan, jika Allah mengampunkan kita dengan syarat, binasalah diri ini. Mampukah saya lepas segala syarat itu? Jika Allah syaratkan setiap solatku mesti khusyuk, apakah ada satu solatku yang sampai kepada apa yang Allah syaratkan itu?Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat pada amalan. Melainkan Rahmat Allah itu jualah jawapannya. Dengan kasih sayang-Nya.Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul kita kepada sifat al-Wahhab Allah SWT.

Saya baru mendengar kuliah 99 nama Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba di hati saya. Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha Memberi.Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya lima sifat:

(1) Memberi tanpa meminta apa-apa balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada makhluk. Kerana itulah Allah SWT Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaan-Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih sayang,kerana mereka beroleh kasih sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.

(2) Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.

(3) Memberi tanpa diminta. Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifat-Penyayang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan hidup diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.

(4) Memberi sesuatu yang amat berharga. Allah Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri. Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita. Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.

(5) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan. Allah jua dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa khidmat kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti kita.

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil".Ameen...

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin Mufti Termuda

Tahniah penulis ucapkan kepada pensyarah penulis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang dipilih kerajaan negeri Perlis untuk memegang jawatan Mufti negeri. Beliau memang dikenali petah berdebat dan berilmu. Beliau menguasai ilmu hadis bahasa Arab dengan baik sekali dan banyak mengetahui fatwa pelbagai mazhab. Tesis karangan beliau di dalam bahasa Arab iaitu Sababul wurud al-hadis (sebab-sebab hadis terjadi) dicetak di Beirut .

Dr Mohd Asri dikenali kerana beliau banyak membuat teguran terhadap penulis kontroversi yang banyak menimbulkan kekeliruan. Kita berdoa agar Dr Mohd Asri dapat berdakwah dengan penuh amanah tanpa ada sebarang kongkongan daripada mana-mana pihak.

_______________________________________________________________

ARAU: Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilantik Mufti Perlis berkuat kuasa 1 November lalu sekali gus menjadi mufti termuda di negara ini.

Beliau yang berumur 35 tahun, ialah pensyarah Pengajian Islam di USM sejak 2003 dan dipinjamkan sebagai Mufti Perlis untuk tempoh dua tahun. Dr Mohd Asri dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahya Hussin yang kini dilantik Penasihat Agama Perlis, selepas memegang jawatan mufti selama 23 tahun.

Watikah pelantikan Dr Mohd Asri disampaikan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Arau, di sini, semalam. Hadir sama, pegawai tinggi kerajaan negeri termasuk Pegawai Kewangan negeri, Musa Hassan. Mohd Asri, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang, itu adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Perlis tahun ini. Beliau mendapat pendidikan di Kolej Islam Klang sebelum menyambung pelajaran peringkat Sarjana Muda di Universiti Jordan dalam bahasa Arab dan Syariah. Beliau seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di USM dalam bidang Pengajian Islam dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Pengajian Hadis. Dr Mohd Asri kemudian memulakan kerjaya sebagai pensyarah di USM pada 2003 sebelum ditawarkan sebagai Mufti Perlis, tetapi pada masa sama masih terikat sebagai kakitangan USM.

Ketika ditemui selepas majlis watikah pelantikan itu, Dr Mohd Asri berkata, dalam tempoh dua tahun ini beliau mahu meningkatkan pembangunan ilmiah dan minda umat Islam di Perlis. Katanya, hanya ilmu pengetahuan dengan fakta yang jelas saja mampu menyelesaikan sesuatu isu yang timbul, sekali gus dapat mengelak timbul salah sangka di kalangan umat Islam. “Ketika ini, ramai tokoh agama yang bercakap dan menyuarakan pandangan dengan bersahaja tanpa fakta lengkap. Jika pandangan itu tidak betul, akan timbul anggapan di kalangan generasi muda bahawa agama itu hanyalah mitos,” katanya. Beliau berkata, perkara itu pernah berlaku terhadap agama Kristian satu masa dulu apabila penganutnya tidak lagi mempercayai kepada institusi gereja.

Dr Mohd Asri berkata, sebagai mufti juga, beliau akan berusaha membebaskan umat Islam daripada kongkongan konservatif yang menjadikan Islam seperti milik golongan tertentu saja. “Sebagai umat Islam, kita perlu kembali kepada fakta dan meninggalkan amalan atau perbuatan konservatif. Kita mesti berubah daripada beragama tanpa sebab kepada beragama secara sedar,” katanya.

Tuesday, November 14, 2006

Dakyah Nasrani Berterusan!!

Ini produk terbaru yang boleh merosakkan akidah anak-anak kita. Pensil yang berbentuk salib dengan ukiran manusia disalib dalam pelbagai warna yang menarik. Menarik dan bertujuan untuk digantung pada leher anak-anak kita.Jika ibu bapa terjumpa pensil ini dipasaran sila buat laporan ke Jabatan Agama Islam, polis, persatuan pengguna Islam, kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pihak media.

Kaedah penggunaan, kanak - kanak akan mengantungkan pen tersebut di leher dan ia akan tergantung di bahagian dada ..!!!!

Bersama kita menjaga akidah anak-anak kita

Sumber : http://www.tranungkite.net/v3/modules.php?name=News&file=article&sid=2104

Friday, November 10, 2006

Islam Agama Indah

Oleh : Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 7 November 2006, hari Selasa jam 7.30 pagi di Mutiara FM pulau Pinang 95.7 mhz.


Assalamulaikum wbt. Tuan-tuan & puan-puan, para peminat Mutiara FM yang dimuliakan. Sememangnya islam merupakan satu agama yang indah. Namun seperti permata dan berlian keindahannya seringkali tertimbus di bawah sampah sarap dan tanah selut. Demikian juga dengan islam. Amalan ,akhlak dan tindak tanduk umat islam seringkali tidak cantik seperti agamanya justeru menjadikan kecantikan islam tertimbus di bawah akhlak hodoh, perangai keji dan tindak tanduk negatif yang dilakukan oleh orang yang berkata La ila Haillallah. Muhammad Rasulullah. Tindak tanduk orang yang bernama Ahmad, Mustapha, Abdullah, Danial, Zainal dan sebagainya menimbuskan kecantikan islam.


Justeru orang menjauhkan dirinya daripada agama sedangkan agama islam merupakan agama pilihan Allah berdasarkan firman Allah yang terdapat dalam surah Al-Imran yang berbunyi “ In naddi naindallah hil islam – agama yang di terima Allah cumalah agama islam”. Agama islam adalah agama yang bukan direka oleh manusia. Tidak juga direka oleh Nabi Muhammad saw. Ia bukan agama ciptaan manusia. Ia agama anugerah Allah. Ia datang dari langit dan diturunkan oleh Allah untuk hamba-hamba Allah.


Justeru dalamnya terdapat ajaran yang komprehensif yang indah. Tiba-tiba yang sedang nampak kecantikan islam ini ialah golongan di barat. Ini fenomina akhir zaman yang cukup pelik. Orang sendiri seperti kita tidak nampak kecatikan islam. Sebab itu perbincangan kita tentang agama hanya berkisar kepada benda-benda cabang. Kadangkala melahirkan debat panjang tentang perkara ranting. Kita berdebat panjang tentang usalli ataupun tidaknya, tentang saidina ataupun tidaknya ketika berselawat sehingga menghodohkan agama dan melahirkan persengketaan. Di barat mereka tidak berbincang tentang islam seperti itu. Mereka cuba melihat permata dalam bentuknya yang asli.


Lantas mengikut Dalam National Catholic Reporter bertarikh 30 Jun 2006 pula, Margot Patterson melaporkan, “Walaupun pandangan negatif terhadap Islam sedang meningkat, namun jumlah mereka yang memeluk Islam sedang bertambah di kalangan rakyat Amerika pada hari ini... Apa yang menyebabkan rakyat Amerika memeluk Islam? Mengikut R. Kevin Jaques, penolong profesor dalam bidang kajian agama di Universiti Indiana, Amerika sedang melalui suatu proses perubahan, gereja pula tidak memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan olehnya, dan mereka yang (memeluk Islam) ini mencari sesuatu yang gereja tidak mampu berikan kepada mereka....Seterusny a Margot Patterson melaporkan Dr. Ihsan Bagby seorang professor madya dalam bidang pengajian islam di Universiti Kentucky, beliau juga merupakan salah seorang yang mempunyai data-data terperinci tentang keadaan umat islam di Amerika.


Beliau mengatakan, mengikut satu kajian yang dilakukan di Detroit menunjukkan bahawa orang-orang Amerika memang sedang memilih islam. Pada tahun 1994 kata beliau ¾ ataupun 75% daripada mereka yang memeluk agama islam datang dari kalangan Amerika Latin tetapi pada tahun 2000, 1/3 daripadanya merupakan pengganut islam dari kalangan kulit putih. Dalam bahasa utara kita berkata, Mat Saleh sudah memilih islam.


Mengapa ini berlaku ?. Maka professor Ihsan Bagby mengatakan, Bagi mereka yang di barat khususnya di Amerika yang memilih islam ini, mereka melihat islam sebagai satu agama moral dan spiritual yang serius. Ini yang barat perlukan. Mereka perlukan satu agama yang berpegang teguh pada sistem moral dan spiritual. Pada ketika hari ini bangsa kita suka pada cara hidup yang tidak serius moral dan spiritualnya. Dunia sedang terbalik. Kita kena cipta lagu yang bertajuk dunia sedang terbalik. Akhirnya Dr. Ihsan Bagby berkata, “ Bila orang barat mengkaji islam dan selepas mereka menapis pandangan-pandangan peribadi golongan yang anti islam, akhirnya selepas mereka menapis semua itu, apa yang mereka nampak ?. Menggunakan bahasa Dr. Ihsan Bagby, beliau berkata, “They see a very organise, very beautiful religion ”. Akhirnya mereka melihat satu agama yang paling tersusun dan paling cantik.


Tuan-tuan & puan-puan yang di muliakan. Adakah kita juga nampak kecantikan islam itu seperti yang mereka nampak di barat khususnya di Amerika pada hari ini. Kita tak akan nampak kecantikan islam andaikata kita sekadar membaca akhbar. Kita tak akan nampak kecantikan islam jika kita sekadar mendengar ceramah-ceramah. Kita tak akan nampak kecantikan islam jika kita sekadar melihat media masa. Kita akan nampak kecantikannya jika kita mengkaji al-quran. Jangan lupa al-quran kalam Allah. Itu yang kita imani. Jangan lupa setiap huruf yang terdapat dalam al-quran yang merupakan huruf-huruf daripada Allah azza wajjal. Allah memperkenalkan dirinya dan agama yang diredhoinya melalui wahyu.


Mari sama-sama kita mengkaji quran tuan-tuan & puan-puan. Kita telah mulakannya di musim ramadhan baru-baru ini dengan baik dan cantik sekali. Jangan berhenti di situ. Teruskan membaca dan mengkaji. Dari situ insyaAllah kita nampak kecantikan agama Allah yang sedang di lihat kecantikannya itu oleh semakin ramai golongan di barat sana. Agama islam cantik tetapi umatnya yang tidak begitu cantik. Sudah sampai masanya agama islam di lihat cantik dan kita umatnya juga di lihat cantik. Semoga itulah yang berlaku kepada kita.

Tuesday, November 07, 2006

Wanita dan Kupu-kupu

Kasihan kupu-kupu, badannya cantik dan mempesonakan tetapi kalau ditambah perkataan malam, ia bermaksud lain. Hakikatnya, kupu-kupu bukan semuanya keluar malam, sebilangan sahaja yang gemar ‘berpeleseran’ pada waktu hitam pekat, itupun kerana terpedaya oleh lampu di pinggir jalan.

Kupu-kupu tetap indah, cantik dan menawan. Sebilangan besar kupu-kupu terbang pada waktu siang, hinggap pada bunga-bungaan, menghirup manisan yang tersembunyi di tengah-tengah. Kemudian kupu-kupu terbang lagi dan hinggap di dedaunan segar. Siapa pun pasti melirik apabila terperasankan kelibat kupu-kupu, hati siapa pun ingin memiliki keindahan, kecantikan dan keunikannya di hujung jari.

Tetapi sayap kupu-kupu mudah berderai, apabila sudah berderai, tiada siapa akan menginginkannya lagi. Kupu-kupu pun terbiar…

Wahai wanita dan kupu-kupu, anda ada persamaan…
Wahai wanita dan kupu-kupu, anda tamsilan kepada keindahan…
Wahai wanita dan kupu-kupu, anda juga tamsilan
Kepada kerosakan dan kemusnahan…

Demikian wanita dijadikan Allah untuk menghiasi bumi ini sebagaimana kupu-kupu dijadikan Allah untuk menghiasi bunga-bungaan. Tanpa wanita dunia ini terasa sempit dan tidak seronok untuk didiami. Kaum lelaki akan berasa rimas sebagaimana Nabi Adam a.s. pernah dilanda gelisah meskipun hidup dipenuhi kenikmatan di Syurga. Lalu baginda memohon kepada Allah agar dijadikan seorang teman, agar boleh dia berbicara, bersenda gurau dan membina sahsiahnya. Terciptalah Hawa dari tulang rusuk kiri Nabi Adam a.s. Barulah terisi jiwa Nabi Adam a.s. dan segala kenikmatan Syurga di sekelilingnya terasa wujud.

Ternyata wanita cukup perlu dalam kehidupan lelaki sebagaimana bunga amat perlu kepada suntingan kupu-kupu untuk merealisasikan proses pendebungaan. Tanpa permaisuri, siapalah lelaki yang bergelar raja itu, tanpa isteri siapalah lelaki yang bergelar suami itu, tanpa wanita siapalah peria yang mahu digelar pemimpin itu dan tanpa perempuan siapalah maskulin yang konon mahu digelar ayah itu?

Tanpa Siti Khadijah, barangkali Rasulullah s.a.w. tidak mendapat ‘dorongan’ yang diperlukannya. Tanpa Aishah, barangkali banyak hadis Rasulullah s.a.w. tidak sampai kepada umat Islam seluruhya. Tanpa Fatimah az-Zahrah, barangkali Saidina Ali tidak muncul sebagai menantu Rasulullah s.a.w. yang amat disayangi. Tanpa Asiah, barangkali Nabi Musa a.s. tidak terbela sehingga menjadi penentang kepada suaminya yang amat kufur dan mengaku Tuhan itu. Tanpa Masitah, barangkali tidak terbukti betapa wanita boleh berpegang teguh kepada keimanan meskipun maut di depan matanya. Dan tanpa wanita, siapalah lelaki kerana setiap lelaki datangnya dari perut wanita.

Namun, seorang wanita yang menjadi isteri kepada Nabi Nuh a.s. telah bertukar menjadi seorang penentang kepada kebenaran dan dalam sejarah manusia sejagat ramai wanita menjadi pendorong kepada kemiskinan, kekufuran, kehancuran dan kemusnahan lelaki.

Alangkah besar dan pentingnya peranan wanita dalam kehidupan lelaki, sebagaimana besar dan pentingnya peranan kupu-kupu dalam menambahbiakkan bunga-bungaan dan menambahindahkan bumi ini. Tetapi alangkah besar dan hebatnya peranan wanita dalam merosakkan kehidupan lelaki, sebagaimana besar dan hebatnya peranan kupu-kupu merosakkan dirinya sendiri dengan menerjah api…

Monday, November 06, 2006

Hidup Harmoni Di Bawah Naungan Islam

Oleh : infotainment_islam@yahoo.com

Sejak beberapa tahun yang lepas, hari-hari perayaan beberapa penganut agama di Malaysia telah jatuh pada tarikh yang sama atau hampir sama. Dari sinilah bermulanya idea `kongsi raya' yang sebelum ini tidak pernah muncul atau diperbincangkan. Dan tahun ini, sekali lagi, dua perayaan masyarakat Malaysia jatuh pada waktu yang hampir sama. Umat Islam menyambut Hari Raya Eidul Fitri dan masyarakat Hindu pula menyambut Perayaan Deepavali. Dua tahun lepas, persoalan `kongsi raya' ini telahpun dijelaskan kedudukannya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak yang mengeluarkan fatwa bahawa hukum mencampuradukkan perayaan Islam dengan perayaan kafir adalah haram [http://mufti. perak.gov. my/berita/ berita041022- 2.htm]. Para ulama yang menghadiri satu muzakarah di Ipoh meminta kerajaan mengkaji semula beberapa amalan seperti perayaan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006 Datuk Seri Harussani Zakaria berkata kajian semula itu perlu kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik [Utusan 14/06/06]. Kenyataan Mufti Perak ini juga telah disiarkan di dalam akhbar The Star bertarikh 14 Jun 2006 . Harussani juga meluahkan kebimbangannya tentang ancaman Pluralisme yang ada hubungkait dengan sambutan `kongsi raya' ini.

Baru-baru ini timbul pula isu yang berkaitan dengan perkara yang sama. Sebuah e-mail bertarikh 3 Oktober 2006 telah dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Syariah, Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang menyeru agar kakitangan Takaful tidak mengucapkan `Selamat Hari Deepavali' kepada individu beragama Hindu. Di dalam e-mailnya, beliau menekankan implikasi ucapan tersebut terhadap akidah seorang Muslim dan keharaman melakukannya. E-mail ini, yang asalnya hanya ditujukan kepada kakitangan Syarikat Takaful, telah tersebar luas dan menimbulkan pelbagai reaksi dari masyarakat. Persatuan Hindu Sangam telah membuat laporan polis mengenainya dan menganggap e-mail ini sebagai satu hasutan. Dalam komennya terhadap isu yang sama, Datuk Seri Samy Vellu menganggap bahawa pandangan seperti ini adalah pandangan ekstremis yang bertujuan untuk menimbulkan kekacauan di negara ini [NST 15/10/06].

Ekoran dari ini, beberapa orang ulama' di Malaysia, termasuklah Datuk Seri Harussani telah membuat kenyataan bahawa mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada seseorang individu bukan Islam diperbolehkan selama mana ucapan selamat tersebut tidak ditujukan kepada `tuhan' individu tersebut [NST 15/10/06]. Perdana Menteri sendiri telah campurtangan dan menyatakan aktiviti kongsi raya yang diamalkan oleh rakyat negara ini tidak mencemar kesucian agama Islam.....ia juga tidak ada langsung membabitkan perlanggaran akidah umat Islam. Beliau berkata, memandangkan kedua-dua perayaan itu disambut dalam tempoh yang hampir antara satu sama lain maka bersama-samalah rakyat Malaysia merayakannya [Utusan 19/10/06].

HUKUM MERAIKAN PERAYAAN AGAMA LAIN

Sekiranya diteliti, kenyataan dan pandangan umum terhadap isu kongsi raya ini banyak disandarkan kepada aspek perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian antara golongan etnik berbeza agama di Malaysia . Sebelum perbincangan mengenai isu ini boleh diteruskan, realiti permasalahan ini perlu difahami terlebih dahulu. Perlu dijelaskan di sini bahawa bagi seorang Muslim, setiap perbuatan kita dipandu sepenuhnya oleh hukum syara' dan adalah haram bagi kita untuk menjadikan rujukan selain Islam (termasuk pendapat yang tidak disandarkan kepada nas) dalam menentukan hukum bagi sesuatu perbuatan itu. Oleh itu, dalam membincangkan persoalan di atas, hanya pandangan dari Islam sahajalah yang wajib dijadikan sebagai rujukan dalam menentukan sikap kita terhadap isu ini.

Apa yang wajib kita fahami adalah, walau apa jua hukum yang datang dari Islam, sekiranya ia merupakan hukum yang diistinbat (diperoleh) melalui kefahaman yang benar dari Al-Quran, Sunnah, Qiyas mahupun Ijma' Sahabat, maka ia pasti akan membawa kemaslahatan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Dari itu, sekiranya suatu perbuatan itu `diperbolehkan' atas alasan yang datang dari perspektif pemikiran manusia, tanpa disandarkan kepada nas, seperti pemahaman manusiawi terhadap konsep kemaslahatan, keharmonian dan kesejahteraan, maka ia tidak boleh diterima di dalam Islam. Keharmonian dan kesejahteraan yang hakiki hanyalah dapat diperolehi dengan melakukan sesuatu perbuatan yang selari dengan kehendak Islam, bukannya kehendak manusia.

Meraikan perayaan keagamaan kaum bukan Islam tidak kira samada perayaan tersebut disambut oleh golongan Nasrani, Yahudi atau golongan Musyrikin (seperti Hindu, Buddha, Sikh) adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam. `Meraikan' di sini termasuklah mengucapkan selamat atau pun menghadiri majlis-majlis perayaan keagamaan mereka. Perbuatan ini termasuk sebagai mengiktiraf atau redha kepada agama mereka atau dengan kata lain, redha agar mereka kekal dalam agama mereka dan redha Allah disyirikkan (dijadikan gandingan) oleh mereka. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, "Sesungguhnya deen (yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam" [TMQ Ali Imran (3):19] dan di dalam firmanNya yang lain, "Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi" [TMQ Ali Imran (3):85].

Fahamilah wahai kaum Muslimin bahawa Allah tidak redha kepada mana-mana agama selain Islam. Rasulullah diutus dengan kalimah "La ilaha illallah" (tidak ada Tuhan selain Allah) yang membawa maksud "La ma'buda illallah" (tidak ada Tuhan yang boleh disembah melainkan Allah). Di dalam satu hadis, Rasulullah bersabda "Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap `La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.. .". [HR Bukhari dan Muslim]. Semenjak Muhammad di angkat oleh Allah menjadi Rasul, maka baginda tidak pernah berhenti mengajak manusia untuk menyembah Allah semata-mata tanpa mensyirikkanNya dengan suatu apa pun. Nabi Sallallahu `alaihi wa Sallam tidak pernah redha terhadap manusia yang menyembah selain Allah dan baginda berusaha berdakwah bersungguh-sungguh agar mereka hanya menyembah Allah yang Satu, walaupun Nabi terpaksa berhadapan dengan penentangan dan penyiksaan yang keras dari golongan musyrikun.

Perlu difahami dengan sejelas-jelasnya bahawa kita umat Islam tidak boleh redha kepada agama selain Islam, kerana Allah sendiri tidak meredhainya. Kita umat Islam tidak boleh redha melihat manusia mempercayai wujudnya tuhan lain (dan menyembah) selain Allah. Allah adalah Tuhan kita, Tuhan bagi semua manusia (termasuk orang-orang kafir) dan Tuhan sekelian alam. Di dalam hal ini, apa yang tidak boleh kita lakukan ialah memaksa mereka untuk memeluk Islam. Tidak boleh memaksa mereka memeluk Islam tidak bermakna kita boleh redha kepada agama mereka atau kita bermusuhan dengan mereka (kecuali kafir yang memerangi Islam). Ia juga tidak bermakna kita melarang mereka merayakan hari agama mereka. Apa yang haram kepada kita adalah memaksa mereka masuk Islam, sebaliknya apa yang wajib kepada kita adalah berdakwah kepada mereka agar masuk Islam. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita. Kita meyakini bahawa aqidah kita (Islam) adalah satu-satunya aqidah yang benar. Maka kita wajib menerangkan kepada mereka tentang aqidah yang benar ini dan menjelaskan kepada mereka kesalahan aqidah mereka.

Wahai kaum Muslimin! Kita haruslah membezakan sambutan keagamaan dan sambutan yang bukan berlandaskan agama. Sambutan Deepavali berbeza dengan sambutan Hari Kemerdekaan atau Tahun Baru. Deepavali adalah `sambutan agama'. Jika kita kaji sejarah disebalik perayaan ini, kita akan dapati bahawa Deepavali (atau Diwali) di sambut kerana memperingati peristiwa Dewa (Tuhan) Krishna yang telah membunuh syaitan (demon) bernama Narakasura. Diriwayatkan bahawa Narakasura adalah pemerintah sebuah negeri yang bernama Pradyoshapuram. Di bawah pemerintahannya, rakyat menderita pelbagai kesusahan. Dia menzalimi rakyatnya dan menculik wanita-wanita dan memenjarakan mereka di istananya. Melihat kejahatannya, maka Dewa (Tuhan) Krishna lalu turun memusnahkannya dan hari pembunuhan/kematian Narakasura ini diraikan sebagai Deepavali, sebagai kemenangan sebuah kebaikan mengatasi kejahatan. Ada juga beberapa riwayat lain tentang asal-usul perayaan Deepavali. Ada yang berpendapat ia diraikan sempena perkahwinan Lakshmi dengan Dewa (Tuhan) Vishnu. Ada juga yang menyatakan hari restu di mana Dewa (Tuhan) Rama kembali ke Ayodhya setelah mengalahkan Ravana dan terdapat beberapa kisah lain lagi. [http://www. abcmalaysia. com/tour_ malaysia/ deepavali. htm]. Inilah kepercayaan penganut Hindu terhadap Deepavali.

Wahai kaum Muslimin, cubalah fikirkan dengan sejernih-jernihnya tentang mengucap selamat atau menghadiri majlis Deepavali. Bukankah ucapan Selamat Menyambut Deepavali bermakna, "Selamat meraikan hari di mana Dewa (Tuhan) Krishna berjaya membunuh syaitan Narakasura" atau "Selamat menyambut hari ulangtahun perkahwinan Lakshmi dengan Dewa (Tuhan) Vishnu"!!! Apakah ini tidak terkait dengan persoalan aqidah? Walaupun kita hanya mengeluarkan ucapan `selamat' kepada `individu' yang beragama Hindu, tetapi terfikirkah kita tentang maksudnya dan kepada `siapakah' ucapan itu pergi? Pernahkan Rasulullah mengucapkan selamat untuk Latta dan Uzza atau kepada penyembah-penyembah nya. Pernahkah Rasulullah mengiktiraf agama penyembah Latta dan Uzza dan meraikan perayaan mereka? Adakah Rasullullah berdiam diri (apatah lagi membenarkan) penyembah-penyembah berhala yang mensyirikkan Allah? Pernahkah Rasulullah berkompromi dengan mana-mana kaum Musyrikin dalam masalah aqidah?

Pernah Abdullah bin Salam dan beberapa sahabat yang lain meminta kepada Rasulullah agar mengizinkan mereka meraikan atau mengagungkan hari kebesaran orang Yahudi (Hari Sabtu) di samping membenci daging dan susu unta. Setelah Rasulullah mendengar permintaan tersebut, maka Rasulullah terus menegur dan memberi peringatan kepada mereka akan keharaman menyertai perayaan seperti itu. Larangan ini dinyatakan dengan jelas oleh junjungan besar kita Muhammad Sallallahu `alaihi wa Sallam dengan sabdanya, "Barangsiapa di kalangan kaum Muslimin yang menyerupai atau meniru perbuatan orang kafir, maka dia itu adalah di kalangan mereka (orang-orang kafir)" [HR Abu Daud, Al-Baihaqi, Ibn Majah dan Ad-Daruquthni]

Huraian di atas menjelaskan kepada kita sikap yang sewajarnya ada pada setiap Muslim dalam menangani isu menyambut perayaan keagamaan kaum kuffar. Ada pendapat yang menyatakan kita harus menerima perbezaan pendapat di dalam amalan kongsi raya ini dan semua pendapat perlu dihormati. Pendapat ini sebenarnya muncul berdasarkan `kompromi' semata-mata untuk menjaga sensitiviti umat Islam dan penganut agama lain. Pendapat sebegini adalah keliru kerana perkara yang dibincangkan di sini adalah melibatkan aqidah, bukan masalah furu' (cabang). Dan (bagi masalah aqidah) jawapan yang ringkas adalah, mesti `satu benar dan satu salah'. Tambahan lagi, hukum yang diperbincangkan di sini adalah halal dan haram, bukannya sunat dan makruh. Rasulullah Sallallahu `alaihi wa Sallam bersabda, "Yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas dan antara kedua-dua itu ada perkara yang syubhat (samar), maka barangsiapa yang telah menjauhi perkara syubhat tersebut bererti dia telah menjaga agamanya" [HR Bukhari].

Maka oleh itu, janganlah kita mencampur adukkan yang haq dan batil semata-mata kerana tujuan maslahat, yang diukur berdasarkan aqal kita atau aqal manusia lain. Maslahat hanyalah apa yang dikatakan sebagai maslahat oleh Allah. Dengan kata lain, kemaslahatan ini bukanlah ditentukan oleh manusia sebaliknya ia ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai Zat yang Maha Mengetahui yang manakah maslahat untuk hamba-hambaNya. Contohnya, walaupun manusia membenci peperangan kerana (pada pendapat manusia) ia tidak akan mendatangkan maslahat sedikitpun, tetapi ini adalah hukum Allah ke atas umat Islam. Allah-lah satu-satunya Zat Yang Maha Menentukan apakah maksud maslahat dan tugas manusia hanyalah mematuhi perintahNya. Insya Allah, kemaslahatan yang hakiki akan dicapai apabila perintah Allah dipatuhi.

UKURAN SEJAHTERA DAN HARMONI

Kembali kepada persoalan `kesejahteraan dan keharmonian' . Ada yang menganggap bahawa hukum Islam ke atas isu ini langsung tidak membantu dalam mengekalkan `kesejahteraan dan keharmonian' antara kaum di Malaysia dan tidak wajar diberi perhatian. Malah tidak kurang juga yang menganggap bahawa hukum Islam ke atas isu ini boleh merosakkan `kesejahteraan dan keharmonian' sedia ada. Bagi menangani persoalan ini, beberapa perkara yang harus diperhatikan:

Pertama: Keharaman menyambut perayaan orang kafir adalah suatu yang jelas. Sama jelasnya dengan keharaman arak, makan babi, riba dan murtad. Bagi seorang Muslim yang benar-benar mahu menjaga agamanya dan yang takut kepada balasan Allah ke atasnya, keharaman-keharaman ini tidak boleh dikompromi untuk maslahat apa sekalipun. Dan ini merupakan suatu yang seharusnya difahami oleh penganut agama lain. `Keharmonian dan kesejahteraan' hanya akan dapat dikecapi sekiranya umat Islam memahami isu ini dan menjelaskannya kepada penganut agama lain agar menghormati hukum Islam mengenainya. Sebagai contoh, golongan bukan Islam memahami bahawa babi adalah haram ke atas orang Islam dan mereka menghormati hukum Islam dalam hal ini dan tidak pernah timbul soal ketidakharmonian. Begitu juga isu murtad yang sepatutnya tidak akan menjadi suatu 'isu' pun sekiranya masyarakat bukan Islam memahami dan menghormati hukum Islam mengenai isu tersebut dan tidak mempertikaikannya.

Kesejahteraan dan keharmonian juga akan terealisasi sekiranya kaum bukan Islam memahami dan menghormati hakikat bahawa kaum Muslimin tidak boleh menyertai atau mengucap selamat bagi perayaan keagamaan mereka. Hal ini tidak bermakna kita ingin bermusuh dengan mereka atau ingin mewujudkan keadaan yang hura-hara. Keadaan ini sama sebagaimana mereka harus memahami dan menghormati hukum Islam bahawa kita tidak boleh berkahwin dengan mereka (kecuali ahli kitab). Apakah dengan ini Islam dikatakan ekstremis? Ini bukan soal ekstremis atau ingin memecahkan perpaduan. Ini adalah perintah Allah. Apa yang menjadi pegangan kita adalah perintah dan larangan Allah atau halal dan haram. Kita sebagai umat Islam wajib menjelaskan kepada orang kafir bahawa segala hukum Allah mestilah dihormati oleh mereka dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun dan atas alasan apa sekalipun!!!

Kedua: Apakah `perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan' hanya akan dapat dicapai dengan meraikan perayaan keagamaan kaum kafir? Dan apakah benar bahawa jika tidak mengucap selamat dan menyertai perayaan tersebut ini akan memecahbelahkan `kesatuan dan keharmonian' yang wujud? Apakah dengan tidak menyambut perayaan keagamaan kaum bukan Islam, bermakna umat Islam menolak `keharmonian dan kesejahteraan' hidup berbilang bangsa dan agama? Adakah belasan atau puluhan tahun yang lepas kita hidup dalam kacau bilau kerana tidak pernah berkongsi raya? Bukankah banyak lagi interaksi yang tidak berkaitan dengan perayaan agama boleh dijadikan asas kepada kehidupan penuh 'keharmonian dan kesejahteraan' ? Inilah hasilnya apabila hukum aqal dijadikan panduan, bukannya hukum Allah. Manusia terkeliru dan tersalah di dalam menafsirkan perpaduan dan keharmonian.

Ketiga: Kemaslahatan, yang termasuk di dalamnya perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum, dalam bentuk yang hakiki, hanya akan dapat direalisasi sekiranya hukum Allah diterapkan sepenuhnya. Dan dalam aspek ini, hubungan antara kaum Muslimin dan kaum kafir telah digariskan secara menyeluruh dalam Islam. Semua hukum-hakam ini termasuk di dalam hukum bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah.

Pemahaman terhadap perkara pertama dan kedua yang telah dibincangkan di atas akan memberikan kepada kita gambaran yang jelas mengenai kekeliruan yang wujud di sekitar hukum kongsi raya dan isu `kesejahteraan dan keharmonian' . Ia juga memberikan gambaran tindakan yang seharusnya di ambil agar penyelesaian `jangka pendek' terhadap isu ini dapat diperolehi supaya masalah ini tidak lagi berulang di masa-masa akan datang. Perkara ketiga, yang merupakan perkara yang wajib kita ambil sepenuhnya, adalah penyelesaian hakiki terhadap masalah ini melalui penerapan hukum Ahlul Zhimmah secara menyeluruh yang pasti akan membawa kesejahteraan yang sebenar-benarnya.

HUKUM MENGENAI AHLUL ZHIMMAH

Daulah Khilafah Islamiyyah secara berkesinambungan telah memerintah selama lebih 1300 tahun dan wilayah kekuasaannya meliputi hampir dua pertiga dunia. Dalam perjalanannya yang cukup lama ini, Islam telah diterima oleh pelbagai kaum dan keadilannya telah dikecapi oleh pelbagai bangsa di dunia ini. Rahsia kejayaan Islam dalam mengembangkan sayapnya ini terletak pada aqidahnya yang benar dan bertepatan dengan fitrah manusia. Kemurnian aqidah Islam mudah diterima oleh pelbagai bangsa. Setelah menganut Islam, mereka bukan setakat meyakini, malah menjadi pengembang aqidah dan Deen ini. Bagi yang kekal dalam kekafiran, mereka membayar jizyah, sebagai ketundukan mereka kepada Daulah Islam dan mereka mengecapi keadilan Islam sebagai warganegara Daulah. Mereka ini digelar sebagai Ahlul Zhimmah atau kadangkala disebut sebagai kafir zhimmi. Asal katanya adalah azh-zhimmah yang bererti al-`ahd atau perjanjian. Islam telah banyak menjelaskan tentang hukum Ahlul Zhimmah. Bahkan ada ulama yang menulis kitab khusus mengenai hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan Ahlul Zhimmah. Misalnya Ibn Qayyim al-Jawziyah yang menulis kitab Ahkam Ahlul Zhimmah. Hukum-hukum yang bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah merupakan suatu subjek yang luas. Namun di sini kami ketengahkan beberapa hukum utama mengenainya:

(a) Ahlul Zhimmah tidak boleh dipaksa masuk Islam. Rasulullah pernah menulis surat untuk penduduk Yemen , "Siapa sahaja yang beragama Yahudi atau Nasrani, dia tidak boleh dipaksa meninggalkannya dan wajib atasnya jizyah" [HR Abu Ubaid]. Hukum ini berlaku untuk golongan kafir secara umumnya, termasuk yang beragama Hindu, Buddha mahupun Majusi. Mereka bebas menganut aqidah mereka dan menjalankan ibadah menurut keyakinan mereka.

(b) Ahlul Zhimmah wajib membayar jizyah kepada Daulah. Jizyah dipungut dari Ahlul Zhimmah lelaki, baligh dan mampu; Abu Ubaid radhiAllahu `anhu meriwayatkan bahawa Khalifah Umar al-Khattab pernah mengirim surat kepada Amir al-Ajnad bahawa jizyah tidak diwajibkan ke atas perempuan, anak-anak dan mereka yang belum baligh. Bagi yang tidak mampu kerana cacat atau tua, Baitul Mal akan membantu pembayaran jizyah mereka. Pada saat pembayaran jizyah, Negara wajib melakukannya secara baik dan tidak boleh disertai penyiksaan atau kekerasan.

(c) Dibolehkan bagi kaum Muslimin memakan sembelihan dan bagi seorang Muslim untuk menikahi wanita Ahlul Zhimmah jika mereka adalah ahlul-kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani. Ini adalah berdasarkan firman Allah, "Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan al-Kitab halal bagimu dan makanan (sembelihan) kamu halal bagi mereka. Demikian pula wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan dari orang-orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu" [TMQ al-Maidah(5) :5]. Namun begitu, jika Ahlul Zhimmah bukannya ahlul kitab, maka sembelihan dan wanita mereka adalah haram bagi seorang Muslim. Sebagai tambahan, adalah haram bagi seorang Muslimah untuk menikahi seorang lelaki ahlul kitab.

(d) Boleh dilakukan muamalah antara kaum Muslimin dengan Ahlul Zhimmah dalam berbagai bentuknya. Ini termasuklah jual beli, sewa menyewa, persyarikatan, pajak gadai dan sebagainya. Rasulullah pernah melakukan muamalah dengan kaum Yahudi di Khaibar di mana kaum Yahudi itu mendapatkan separuh dari hasil kurmanya. Cuma yang perlu diperhatikan di sini adalah bahawa setiap jenis muamalah ini mestilah menurut hukum Islam, bukannya hukum kufur.

(e) Ahlul Zhimmah adalah rakyat Daulah Islamiyyah. Mereka mendapatkan hak sebagaimana rakyat lainnya yang Muslim. Mereka mendapat hak perlindungan, pendidikan, keamanan, kesihatan dan diperlakukan secara baik dalam segala bentuk muamalah. Dilarang menyakiti Ahlu Zhimmah. Kedudukan mereka sama di hadapan penguasa dan hakim. Tidak boleh wujud sebarang perbezaan apa pun antara mereka dengan rakyat yang Muslim, kecuali dalam hal yang telah dijelaskan syara'. Negara Islam wajib berlaku adil kepada mereka sepertimana ia berlaku adil kepada rakyatnya yang Muslim.

Wahai kaum Muslimin! Hukum-hakam ini telah direalisasikan selama 13 abad dan selama itu, kesejahteraan dan keharmonian hakiki telah dikecapi oleh kaum Muslimin dan kafir zhimmi. Pelbagai peristiwa di dalam sejarah telah membuktikan hakikat ini. Ketika kaum Salibiyyin Nasrani ingin menghancurkan kaum Muslimin, mereka mengharapkan dua perkara yang membantu mereka. Salah satu darinya adalah harapan bahawa golongan Nasrani yang tinggal di dalam Daulah akan membantu mereka menghancurkan kaum Muslimin. Namun apa yang berlaku adalah amat memeranjatkan mereka. Golongan Nasrani (yang ada di dalam Daulah) telah bersama-sama dengan kaum Muslimin menentang kaum Salibiyyin. Bagi golongan Nasrani ini, mereka menganggap bahawa Daulah ini adalah tanah tumpah darah mereka, mereka hidup bersama-sama kaum Muslimin dengan kesejahteraan dan keadilan Islam. Mereka yakin hanya Islam sahajalah yang dapat menjamin hak-hak mereka dan mereka benar-benar hidup harmoni bersama kaum Muslimin di bawah naungan Islam. Dalam konteks ini, al-Qurafi menyebut:

`Adalah wajib bagi kaum Muslimin untuk melayan golongan zhimmi dengan kelembutan, membantu golongan fakir antara mereka, memberi makan bagi yang lapar antara mereka, memberi pakaian bagi yang tidak berpakaian antara mereka dan menyeru mereka dengan kata-kata yang baik. Kaum Muslimin juga harus sama-sama menanggung penderitaan jiran ahlul zhimmah mereka, meskipun sekiranya penderitaan itu berjaya diatasi; ini adalah sebahagian dari sifat pengasih yang perlu ada, bukan kerana mengagungkan mereka. Kaum Muslimin juga haruslah memberikan nasihat yang baik dalam setiap urusan kepada mereka, menghalang sesiapapun yang cuba mencederakan mereka serta menjaga harta benda, keluarga dan kemuliaan mereka. Pertahankan juga segala hak mereka dan layanilah mereka dengan penuh kemuliaan dan akhlak yang mulia' [Daulah Islamiyyah, Taqiyuddin An-Nabhani].

Wahai kaum Muslimin! Inilah layanan yang dijanjikan Daulah Islam kepada golongan kafir zhimmi. Banyak lagi catatan-catatan sejarah yang membuktikan kemaslahatan hakiki yang dinikmati oleh orang kafir yang hidup di dalam Daulah Khilafah, termasuklah yang ditulis oleh orang kafir itu sendiri, terutamanya para orientalis. Penerapan kaffah Islam oleh Rasulullah dan para Khalifah sesudahnya benar-benar telah membawa rahmat, keharmonian dan kesejahteraan kepada umat manusia sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Inilah rahmat yang datang dari Zat Yang Mencipta manusia, alam dan kehidupan. Pencipta yang sepatutnya dan sewajibnya disembah oleh semua manusia. Barangsiapa yang menyekutukanNya, maka nerakalah tempat kembali yang paling sesuai untuknya. Rahmat yang telah hilang sejak runtuhnya Daulah Khilafah ini Insya Allah, akan kembali diturunkan olehNya, apabila Khilafah memerintah dunia sekali lagi dan menerapkan segala hukum-hakamNya. Di ketika dan saat itu, manusia akan berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan meninggalkan segala kekufuran. Semoga Allah menyegerakan kembalinya hari tersebut kepada kita.

Amin ya Rabbal 'alamin.